Blog‎ > ‎

RAW lwn JPEG

Semua kamera digital boleh menyimpan imej dalam format JPEG. Terdapat beberapa kelebihan format ini terutama kepada yang baru nak belajar.

Fail JPEG menggunakan setting kualiti imej yang ditetapkan oleh kamera - white balance, dedahan, ketajaman, dan kontras - dan imej dimampatkan supaya lebih banyak imej boleh disimpan dalam kad memori.

Kita boleh mengubah tahap mampatan: Setting Fine menggunakan mampatan rendah menghasilkan fail lebih besar tetapi kualiti imej lebih baik berbanding setting Normal.

Kebanyakan kamera digital boleh mengesan 12 bit atau lebih bagi setiap warna. JPEG hanya menyimpan 8 bit setiap warna, jadi terdapat maklumat yang mungkin berguna dibuang dalam format JPEG. Bagaimana pun, JPEG boleh dibuka oleh sebarang program imej, dan diterima oleh semua kedai cetak gambar.

Format RAW menyimpan semua maklumat yang dijana oleh sensor imej. Kesannya, fail RAW memerlukan lebih ruang berbanding fail JPEG Fine. Setiap pembuat kamera menentukan sendiri apa yang ada dalam fail RAW, jadi kita perlukan turas atau program khas untuk melihat imej.

Fail RAW mesti ditukar ke format JPEG atau TIFF sebelum dicetak atau diemel. Tetapi imej RAW yang ditukar akan kelihatan lebih baik - terutama jika kita cuba merakam gambar kontras tinggi, tersilap dedahan atau jika imbangan putih kamera tersilap.

Terdapat beberapa program untuk menukar RAW ke JPEG atau TIFF. Canon memberi Digital Photo Professional dengan setiap kamera manakala Nikon memberikan ViewNX. Pengguna Adobe Photoshop boleh memuatturun turas Adobe Camera RAW (ACR). Perisian berbayar termasuk Adobe LightRoom dan Apple Aperture.

Kesimpulannya: untuk kualiti imej terbaik, kawalan dedahan dan detail, gunakan RAW. Untuk kemudahan, kelajuan dan ruang storan maximum, gunakan JPEG. Untuk mendapatkan yang terbaik dari kedua-dua format, gunakan RAW+JPEG - dan sediakan kad memori serta cakera keras lebih besar!

Comments